Aku tak kenal siapa dia Ustaz Zul Ramli M.Razali. Namanya pun tak pernah aku dengar selama ini. Bukan seperti Ustaz Zawawi atau Ustaz Zahzan yang selalu bersiaran dikaca tv.
Apa yang menyebabkan aku terlintas untuk bercerita lebih lanjut berkaitan empunya diri?
Semuanya bermula suatu hari sewaktu aku membeli-belah di Tesco Ampang. Selepas makan bersama adik, kami singgah di sebuah kedai di hadapan Popular Bookstore dan adik telah membeli 2 buah buku motivasi yang aku sendiri tidak tahu tajuknya.
Keesokan harinya adik pulang ke kolej seperti biasa untuk meneruskan aktiviti pembelajarannya dan sebuah buku ditinggalkan untuk aku. Aku sekadar membelek2 pada mulanya buku tersebut tetapi lama kelamaan aku mula membaca penuh perhatian.
Di mukasurat 12 ada satu tajuk penuh bermakna bagi aku. Mutiara 3 – Ibadah Bukan Beban, Ia hadiah Terindah Daripada Tuhan. Ia menceritakan bagaimana seorang pemuda yang pada mula hidupnya sentiasa mendekati diri dengan tuhan tetapi tewas dengan keadaan dunia apabila dianiaya oleh pensyarahnya sendiri. Bacalah untuk lebih tahu bagaimana dia boleh berubah.....
Yang menyebabkan hati aku terdetik, didalam buku ini Ustaz menulis, beliau tidak mengharapkan pemuda ini untuk menjadi peguam yang hebat di mahkamah, cukuplah dia selamat nanti ketika sama-sama berdiri di hadapan makhkamah Tuhan di Padang Mashar .....
Orang yang mampu melihat keluar dari daerah sempit fizikal pasti mendapati bahawa ibadah ialah sumber tenaga dan kekuatan sebenar yang dianugerahkan oleh Allah demi kebaikan manusia. Ia adalah hadiah yang terindah daripada Allah untuk kita hargai.
Setiap manusia pernah terbabas dan tersalah jalan. Apa yang membezakan antara orang cemerlang dengan gagal ialah orang cemerlang menemui kembali jalan betul, manakala yang gagal akan terus berada di jalan salah dan tak menemui mana ruang untuk kembali. Jadi setiap kali bertemu ruang untuk berpusing kembali ke jalan betul, lakukanlah kerana itu ialah anugerah daripada pengajaran dan peringatan yang terbesar.
“Sesungguhnya Kami kembalikan ke dalam neraka Jahanam nanti ramai daripada golongan manusia dan jin, mereka mempunyai hati tetapi tidak faham dengannya, punya telinga tetapi tidak mendengar dengannya, punya mata tetapi melihat dengannya. Mereka seperti binantang ternak bahkan lebih hina.: ( Al-A’raf : 179)
Banyak lagi kisah di dalamnya dan aku yakin setiap helaian bakal memberikan ada pulangan yang tidak ternilai untuk hati dan diri kita agar lebih dekat dengan Allah. Bacalah. Ia buku terbaik yang pernah aku jumpa setakat ini untuk kesedaran dan panduan untuk menghadapi liku-liku hidup.